Wudhu adalah sesuatu perbuatan yang mulia di sisi Allah S.W.T. Ia boleh mendekatkan diri kepada tuhannya serta mendapat keampunan. Antara kelebihan-kelebihan wudhu adalah seperti berikut :
1 – Sebahagian Dari Iman
Diriwayatkan daripada Abu Malik al-Ash’ari r.a., Nabi S.A.W. bersabda:
“Bersuci itu adalah sebahagian daripada iman...” (H/R. Muslim, no. 223)
2 – Wudhu’ Yang Sempurna Menghapuskan Dosa
Pengambilan wudhu’ yang sempurna bukan sahaja jaminan diterima solatnya tetapi ianya juga dapat menghapuskan dosa-dosa selagi tidak melakukan kesyirikan. Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Dari Abu Hurairah r.a. berkata: Telah bersabda Rasulullah S.A.W. : Apabila seseorang hamba muslim atau mukmin berwudhu’ maka setelah ia membasuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya segala dosa yang telah dilihat oleh kedua matanya melalui air atau bersama titisan air yang terakhir. Ketika membasuh kedua tangannya keluarlah dari kedua tangannya setiap dosa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir. Sewaktu ia membasuh kedua belah kakinya, keluarlah dari kedua kakinya setiap dosa yang dilangkah oleh kedua kakinya bersama air atau bersama air terakhir sehinggalah setelah ia selesai berwudhu’ ia bersih dari dosa-dosanya."(H/R. Muslim, 1/148)
“Barangsiapa yang berwudhu’ seperti ini (seperti wudhu’nya Rasulullah), diampunkan dosa-dosanya yang telah berlalu dan solat serta perjalanannya ke masjid adalah dipenuhi pahala”. (H/R. Muslim, 3/113)
Dari Abi Umamah r.a. berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda: "Apabila seseorang muslim berwudhu’ maka akan keluar dosa-dosanya dari pendengarannya (telinganya), matanya, tangannya dan dari kedua kakinya. Apabila ia duduk menanti solat, ia duduk dalam keampunan (diampunkan) dosa-dosanya." (H/R. Ahmad, 5/252. Hadis Hasan: Lihat Jami’ as-Saghir, No. 461)
3 – Wudhu’ Mengangkat Darjat Manusia
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu:
“Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. telah bersabda: Sukakah kamu semua sekiranya aku tunjukkan kepada kalian akan amalan yang dapat menghapuskan kesalahan-kesalahan dan mengangkat beberapa darjat kalian? Mereka menjawab: “Ya, wahai Rasulullah”. Maka Baginda S.A.W. pun bersabda: “Iaitu (antaranya) menyempurnakan wudhu’ walaupun dalam keadaan yang tidak disenangi (seperti kesejukan dan sebagainya)…” (H/R. Muslim, no: 253)
4 – Wudhu’ Dapat Membuka Pintu Ke Syurga
Diriwayatkan dari Umar bin al-Khattab r.a., Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Tiada seorang pun dari kalian yang berwudhu’, lalu ia menyampaikan atau meratakan wudhu’nya, kemudian dia mengucapkan: “Asyhadu alla ilaha illallah wa anna Muhammadan ‘Abduhu wa Rasuluh”, melainkan dibukalah untuknya pintu syurga yang lapan, dia boleh memasuki dari pintu mana pun yang dia kehendaki." (H/R. Muslim, no: 234)
5 – Wudhu’ Memberi Cahaya Di Akhirat
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah S.A.W. telah bersabda:
“Perhiasan-perhiasan di syurga itu sampai di tubuh seorang mukmin, bersesuaian dengan anggota yang dicapai oleh wudhu’.” (H/R. Muslim, no: 250)
6 – Wudhu’ Dapat Membuka Ikatan Syaitan
Dari Abu Hurairah r.a, beliau meriwayatkan dari Rasulullah S.A.W., bahawa syaitan mengikut manusia ketika tidur di malam hari, dengan tiga ikatan. Kemudian Rasulullah S.A.W. memberitahu cara untuk merungkai ikatan tersebut, dalam sabda Baginda S.A.W. :
“…sekiranya dia (manusia) bangun (dari tidurnya), dan mengingati Allah, bebaslah satu ikatan. Sekiranya dia berwudhu’ pula, bebaslah satu ikatan lagi, dan sekiranya dia bersolat, bebaslah satu ikatan lagi. Maka dia akan menjadi segar dan baik dirinya. Sekiranya dia tidak melakukannya (berzikir, wudhu’, dan bersolat), maka dia akan menjadi buruk dan pemalas." (H/R. al-Bukhari, no: 1091)
Antara kelebihan-kelebihan lainnya adalah seperti berikut :
- Orang yag tidur dalam keadaan berwuduk pahalanya seperti berpuasa.
- Orang yang wuduk sebelum tidur, malaikat tidur bersamanya.
- Nabi kenal umatnya melalui cahaya wuduk. Wuduk selepas wuduk yang belum batal umpama Cahaya atas cahaya (Nur ala nur) , sudah cerah lagi bersuluh.
- Doa selepas wuduk mengugurkan dosa.
- Wuduk menjadi kafarah, menghapus dosa antara 2 waktu solat.
- Air wuduk dan mandi junub menghasilkan malaikat yang berdoa dan minta ampun untuk tuannya.
No comments:
Post a Comment